Tidak semua usahawan berjaya dan kebiasaannya yang berjaya juga pasti pernah merasai kegagalan. Jika sebut tentang kegagalan pula, ada pelbagai sebab yang menjadi penyumbang kepada sesebuah perniagaan itu gagal. Berikut kami senaraikan lima punca utama bagi sesebuah perniagaan menjadi gagal:

(1) MENYERAH KALAH
Menjadi usahawan bukanlah selamanya indah kerana pada satu tahap pasti akan berdepan kesukaran yang cukup membebankan. Disebabkan itulah ramai usahawan yang mula berjinak dalam dunia perniagaan lebih sanggup mengibar ‘bendera putih’ kerana takut mengatasi masalah.

(2) PERSAINGAN SENGIT
Banyak cabang perniagaan yang mengetengahkan produk atau rangkaian yang hampir sama. Betul, persaingan yang sihat itu bagus. Tetapi sebenarnya ia lebih berpotensi menghancurkan! Apabila terlalu banyak pilihan, sudah tentu pelanggan akan membanding-bandingkan kualiti dan juga populariti.

(3) KURANG INOVATIF
Pembaharuan pada barangan niaga sangat berkuasa kerana ia yang akan menentukan minat pelanggan untuk terus membeli produk anda. Atas sebab itulah, produk-produk yang enggan memanfaatkan inovasi akan ‘gulung tikar’. Kegagalan ini adalah disebabkan usahawan tidak memahami kehendak pelanggan.

(4) TIADA PERANCANGAN PERNIAGAAN
Nasib yang baik atau tuah bukanlah istilah yang mesra dalam perniagaan. Jika usahawan tidak merancang pelan akan datang, maka bersiap sedia sahaja untuk alami kegagalan. Apabila tiada perancangan, maka matlamat untuk pembangunan perniagaan syarikat juga akan terjejas secara tidak langsung.

(5) TIDAK MAHU TAJAMKAN KEMAHIRAN
Usahawan juga punya tahap ego tersendiri. Andai salah percaturan, pasti memakan diri. Bergelar usahawan berjaya tidak semestinya anda sudah mahir segala-galanya. Ramai usahawan yang gagal kerana terlalu ego enggan mempelbagaikan kemahiran usahawan. Banyak program-program seperti seminar, bacaan ilmiah, forum dan sebagainya mampu mantapkan perniagaan sekaligus elak daripada rugi sepatutnya dipraktikkan usahawan.

Punca kegagalan perniagaan.jpg