Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2017. Terdapat 580 peserta pameran daripada 33 buah negara yang terlibat dalam MIHAS kali ini. Tahun ini genap 14 kali Malaysia menjadi tuan rumah sejak tahun 2004 penubuhan MIHAS. Antara negara yang terlibat dalam pameran tersebut termasuklah negara ASEAN, Palestine, Iran, United Arab Emirates, Turki, Netherlands, Brazil, Afrika Selatan, China, Jepun, Taiwan dan banyak lagi. Kali ini, MIHAS menerima penyertaan buat pertama kalinya dari negara Austria dan Finland. MIHAS yang berlangsung sepanjang 5 sehingga 8 April itu menjangkakan seramai 25,000 jumlah pelawat yang akan hadir pada tahun ini.

MIHAS 2017 yang di anjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) itu telah dirasmikan oleh Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata, “MIHAS 2017 merupakan acara utama bukan sahaja untuk tujuan perniagaan malah untuk mengukuhkan lagi peranan Malaysia sebagai hab industri Halal dunia”.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Mustapa Mohamed berkata, “Dalam memperjuangkan kemasukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam perniagaan antarabangsa melalui industri Halal ini juga selaras dengan hasrat ASEAN, lebih-lebih lagi tahun ini merupakan ulang tahun yang ke-50 bagi penubuhan ASEAN.”