Selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Yayasan Steinbeis Malaysia dan Persatuan Pengurusan Teknologi dan Inovasi di Kuala Lumpur baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Inovasi Malaysia (AIM) YBhg Datuk Mark Rozario berkata menyedari akan masalah yang dihadapi oleh Perusahaan kecil dan Sederhana (PKS) dalam mendapatkan pensijilan seperti halal, Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan ISO 9001, mereka tampil dengan inisiatif baharu iaitu dengan membantu PKS melalui Program khidmat nasihat secara bersemuka dengan ahli pakar. Menurut beliau, pensijilan itu amat penting untuk mereka menstabilkan perniagaan terutamanya kepada PKS yang ingin mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.

Steinbeis Malaysia merupakan inisiatif AIM bagi menyediakan platform khusus industri selain menggalakkan kerjasama industri dengan kalangan akademi. Selain itu, Steinbeis Malaysia juga bertindak sebagai saluran untuk membantu para usahawan dalam mencari penyelesaian yang betul dalam isu berkaitan PKS.

Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program anjuran AIM boleh terus melayari laman rasmi AIM iaitu www.innovation.my atau laman rasmi Yayasan Steinbeis Malaysia ke www.steinbeis.my.