14 November 2017 – Kumpulan AmBank (AmBank) menyasar untuk meluluskan RM7 bilion pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam tahun kewangan 2017 yang akan berakhir 31 Mac depan.

Ketua Eksekutif Kumpulan, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, berkata sehingga kini pihaknya sudah meluluskan pinjaman bernilai RM3 bilion kepada PKS. “Kami yakin dapat memberi kelulusan pinjaman sehingga RM4 bilion menjelang akhir tahun kewangan ini.

“Daripada jumlah berkenaan, pinjaman yang diluluskan adalah untuk perusahaan dalam bidang peruncitan, pengeluaran, perdagangan dan pemborongan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran program AmBank BizRace di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Pengerusi AmBank, Tan Sri Azman Hashim serta Pengarah Urusan Perbankan Perniagaannya, Christopher Yap.

AmBank BizRace adalah aktiviti pembangunan kepimpinan bernilai lebih RM2 juta yang ditawarkan kepada 15 PKS yang berjaya meraih tempah teratas. Tarikan utama aktiviti berkenaan merangkumi program pembangunan keusahawanan di universiti berprestij dunia bernilai lebih RM1.2 juta; langganan HarvardManageMentor selama setahun bernilai RM500,000; dua tempat ke European School of Management & Technology bernilai RM100,000 serta pakej media yang akan mempromosikan jenama syarikat terbabit dengan nilai RM595,000.

Sementara itu, Sulaiman berkata melalui AmBank BizRace, bank berhasrat mengukuhkan model perniagaan PKS dan pihaknya mengambil pendekatan masa dan keadaan yang sesuai untuk meluaskan perniagaan terbabit.

“AmBank mahu mewujudkan satu ekosistem sihat untuk PKS tempatan dan ia juga membolehkan kami memenuhi keperluan usahawan di peringkat akar umbi dengan tunjuk ajar dan pengetahuan yang khusus. “Secara positifnya, kami menyaksikan peningkatan baik bagi kalangan PKS yang mahu berkembang. Kesungguhan yang dipamerkan semasa menyertai program ini adalah mengagumkan,” katanya.

 

Nama Pengarang: Nasuha Badrul Huzaini

Sumber: www.bharian.com.my