NiagaTimes.com telah menganjurkan Anugerah Personaliti Industri dan Usahawan 2017 yang bertemakan ‘Dari Puncak ke Angkasa, Menyerlah Jauh dari yang Biasa’. Anugerah ini bukan sahaja untuk merai kecemerlangan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputra, malah menghargai segala usaha yang telah mereka berikan kepada pembangunan ekonomi negara. Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), YB Dato’ Henry Sum Agong.

Dato’ Henry Sum Agong, Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berucap dalam majlis semalam

Dalam majlis anugerah tersebut, Timbalan Menteri KPDNKK berkata peranan perusahaan kecil dan sederhana dilihat semakin penting dalam merencanakan masa hadapan ekonomi negara. Dengan merangkumi sebanyak 97.3%, PKS mempunyai pertalian rapat dengan setiap aspek ekonomi seperti perusahaan mikro serta masyarakat luar bandar.

Selain itu, secara konsistennya, usahawan PKS telah menyumbang sekurang-kurangnya sebanyak 16% sehingga 18% daripada jumlah eksport negara.

Penerima anugerah Ikon Usahawan Malaysia 2017 Dato’ Nurulhidayah Dato’ Seri Ahmad Zahid (tengah) disampaikan oleh Timbalan Menteri KPDNKK (kiri) dan diiringi oleh Dato’ R. Rajendran, CEO RHA Media Sdn Bhd(kanan)

Terdapat sebanyak 22 kategori anugerah dan 50 syarikat serta individu yang menerima anugerah di majlis tersebut. Antara kategori anugerah pada malam itu termasuklah Ikon Usahawan Malaysia, Ikon Tahunan, Ikon Muzik dan banyak lagi. Bagi Ikon Usahawan Malaysia, salah satu daripada penerima anugerah tersebut ialah Dato’ Nurulhidayah Dato’ Seri Ahmad Zahid. Beliau merupakan Pengarah Eksekutif Ri-Yaz Group, satu kumpulan syarikat yang mengendalikan beberapa hotel dan resort berprestij.

Penerima anugerah Ikon Usahawan Malaysia 2017 Dato’ Dr. Ir. Mohd Abdul Karim Abdullah (tengah) disampaikan oleh KPDNKKTimbalan Menteri (kiri) dan diiringi oleh Dato’ R. Rajendran, CEO RHA Media Sdn Bhd (kanan).jpg

Turut menerima anugerah yang sama ialah Dato’ Dr. Ir. Mohd Abdul Karim Abdullah. Beliau yang mempunyai pengalaman selama 29 tahun dalam bidang kejuruteraan itu merupakan Ketua Pegawai Eksekutif bagi Serba Dinamik Group Bhd. Serba Dinamik adalah sebuah syarikat yang disenaraikan di papan induk bursa Malaysia baru-baru ini. Beliau berjaya mentransformasikan syarikat kejuruteraan beliau sehingga menjadi salah satu syarikat kejuruteraan terbesar di Malaysia. Serba Dinamik menyediakan penyelesaian kejuruteraan bertaraf antarabangsa untuk pelanggan global dalam bidang kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan kerja-kerja bertauliah, operasi dan penyelenggaraan O&M dan penjanaan kuasa. Syarikat ini juga terlibat dalam penyelenggaraan mesin gas, turbin gas dan stim, enjin diesel dan mesin pemampat dan pam berskala besar.

Untuk anugerah Ikon Usahawan Tahunan pula, salah satu penerima anugerah tersebut ialah Puan Sri Nisa Bakri. Beliau yang merupakan pengasas kepada NJB Innari Sdn Bhd juga turut terkenal dengan buku rersepinya berjudul ‘I am not a Chef’. Selain tu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxxima Resources Sdn Bhd, Dr. Ahmad Riza Md Ibrahim juga turut dinobatkan sebagai Ikon Usahawanan Tahunan 2017.

Bagi anugerah Ikon Muzik 2017 pula telah diberikan kepada penyanyi terkenal Malaysia iaitu Ning Baizura. Beliau mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang nyanyian dan telah menerima pelbagai anugerah industri muzik tanah air.

Emir Abdul Jalal, Penasihat NiagaTimes.com berucap dalam majlis semalam

Penasihat NiagaTimes.com, Emir Abdul Jalal berkata, melalui pemantauan serta analisis yang telah dilakukan oleh NiagaTimes.com, mereka mendapati bahawa usahawan PKS di negara ini telah menarik perhatian ramai pihak luar dan berpotensi besar untuk berdiri sama taraf dengan para usahawan PKS di negara maju lain.

Beliau berharap agar penganugerahan pada malam itu akan menjadi batu loncatan serta motivasi kepada para usahawan PKS untuk membangunkan ekonomi negara sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Pada majlis itu, NiagaTimes juga turut menderma sumbangan sejumlah RM10,000 kepada Pusat Jagaan Beribuan Kasih dan Lighthouse Welfare Home setiap satu.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Dato’ R. Rajendran, CEO RHA Media, Lee Seng Chee, Managing Editor CSR Malaysia dan Tan Sri Mohd Bakri Zinin, bekas Timbalan Ketua Polis Negara.

Portal Niaga Times merupakan penerbitan PR Partners Asia Sdn Bhd yang telah ditubuhkan sejak tahun 2013 lagi. Portal ini bertujuan untuk membantu masyarakat yang mempunyai minat dalam perniagaan melalui penyediaan maklumat secara menyeluruh mengenai perniagaan.