Masyarakat B40 (golongan 40 peratus pendapatan rendah negara) yang berminat menjalankan perniagaan disarankan tampil merebut pelbagai peluang serta kemudahan yang ditawarkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan bagi merealisasikan impian bergelar usahawan.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, kebimbangan untuk memulakan sesuatu perniagaan yang wujud dalam kalangan B40 seharusnya diketepikan memandangkan platform yang disediakan kementeriannya berupaya membimbing mereka daripada gagal.

“Kita sentiasa menggalakkan orang Melayu terutamanya dalam kalangan B40 supaya lebih berani ke depan dan kreatif kerana banyak peluang dan ruang disediakan untuk membantu mereka memulakan perniagaan.

“Tetapi saya lihat hari ini yang datang lebih banyak hanya meminta wang. Sedangkan, banyak kaedah permulaan perniagaan yang telah diaturkan oleh kementerian,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ihya Ramadan TEKUN Nasional bersama BERSATU Jasin di Masjid Al-Ghaffar Melaka, semalam.

REDZUAN-Kredit-foto-FB-Mohd-Redzuan-Yusof.jpg