Bank Rakyat memperuntukkan kemudahan bantuan kewangan sebanyak RM200 juta untuk Program Pembiayaan Vendor kepada sektor Perkhidmatan serta Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) dengan Petroliam Nasional Bhd. (PETRONAS) dinamakan sebagai syarikat kerjasama pertama menjayakannya.

Ketua Pegawai Perbankan Perniagaan Bank Rakyat, Abdul Razak Abu Bakar berkata, pembiayaan tersebut bagaimanapun tidak hanya melibatkan wakil syarikat vendor PETRONAS berkelayakan malah juga terbuka kepada semua Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sektor OGSE tempatan.

“Jika program berkenaan mendapat sambutan yang baik daripada vendor terbabit, kami akan meningkatkan jumlah peruntukan mengikut keperluan semasa.

“Selain itu, kami juga merancang untuk meluaskan program berkenaan ke sektor lain seperti telekomunikasi dan tenaga,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PETRONAS di Menara Kembar Bank Rakyat Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi; Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Noripah Kamso; Timbalan Presiden Perolehan Kumpulan PETRONAS, Samsudin Miskon dan Naib Presiden Kanan Penyampaian Projek dan Teknologi PETRONAS, Adnan Zainal Abidin.

MoU-Bank-Rakyat-PETRONAS-Kredit-foto-MED.jpg