Platform e-dagang Indonesia, Bukalapak mengembangkan sayapnya menerusi pelancaran BukaGlobal, platform e-dagang untuk menerima pelanggan daripada luar republik itu.

Pengasas bersama dan Presiden Bukalapak Fajrin Rasyid berkata platform itu bertujuan menghubungkan lebih empat juta penjual di Indonesia terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) dengan pelbagai lokasi di rantau ini, termasuk Malaysia.

“Ini ialah fasa pengembangan kami yang pertama di luar Indonesia. Selain Malaysia, kami juga memasuki Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Brunei,” katanya semasa pelancaran BukaGlobal di Kedutaan Indonesia di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi penyelesaian logistik, BukaGlobal akan bekerjasama dengan platform logistik rentas sempadan, Janio Technologies untuk menyediakan perkhidmatan penyampaian yang pantas dan kompetitif, sekali gus memenuhi keperluan pengguna.

Fajrin berkata BukaGlobal kini boleh diakses di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. – BERNAMA