Cgc Sedia Jaminan Pembiayaan Kepada 9,500 Pks

7 Ogos, 2017 – Credit Guarantee Corp Malaysia Bhd (CGC) yakin dapat mencapai sasaran menyediakan jaminan dan pembiayaan bernilai RM4.7 bilion kepada 9,500 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menjelang akhir tahun ini.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak, berkata sehingga 30 Jun lalu, pihaknya telah mengagihkan 44 peratus daripada jumlah berkenaan kepada pihak terbabit.

“Walaupun jumlah itu agak rendah daripada sasaran, kami yakin ia dapat diatasi pada separuh kedua berikutan terdapat beberapa projek pembinaan yang berprofil tinggi seperti Lebuhraya Pan Borneo Borneo dan projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL).

“Projek-projek berkenaan akan membuka peluang kepada pembabitan ramai kontraktor kecil dan kami berharap dapat membantu menyediakan jaminan dan pembiayaan kepada mereka seperti mana yang dilakukan dalam projek Transit Aliran Massa (MRT),” katanya pada sidang media selepas pelancaran Skim Pelatih CGC PKS (CGC SAS) di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan dan Pengerusi CGC, Datuk Agil Natt.

Seramai 10 pelatih telah dipilih untuk mengikuti skim berkenaan yang mana ia menyediakan peluang kemahiran latihan kepada graduan dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang tidak bekerja.

Zamree berkata, pihaknya memperuntukkan lebih RM500,000 untuk menjayakan skim berkenaan dan ia adalah sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial CGC.

“Skim ini berbeza dengan skim latihan yang lain kerana CGC akan membayar 90 peratus daripada kos yang terdiri daripada gaji bulanan, manfaat pekerjaan dan sumbangan berkanun manakala 10 peratus lagi akan ditanggung oleh PKS.

“CGC SAS ini mempunyai dua objektif iaitu menyediakan peluang dan pendedahan kepada graduan yang terpilih untuk menjadi usahawan yang berjaya di samping membantu PKS mendapat pekerja yang berkemahiran dan sesuai dengan perniagaan yang dijalankan,” katanya.

Tambahnya lagi, graduan terbabit akan ditempatkan di PKS terpilih selama setahun dan PKS yang terbabit adalah dari bidang pertanian, pembinaan, teknologi hijau, teknologi maklumat serta industri minyak dan gas.

 

NAMA PENGARANG: NASUHA BADRUL HUZAINI
SUMBER: http://www.bharian.com.my