Cimb Perkenal Platform Sehenti Untuk Perniagaan

CIMB Bank Bhd (CIMB) memperkenalkan platform sehenti bagi menawarkan rangkaian menyeluruh bagi produk dan perkhidmatan perbankan komersial khusus kepada syarikat serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dikenali sebagai Biz123, ia menawarkan bantuan dalam mencapai visi perniagaan dengan lebih cepat dan mudah melalui laman web Biz123 berbanding perkhidmatan perbankan komersial konvensional sebelum ini.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CIMB Bank Malaysia, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, produk terbaharu ini membantu usahawan memudahkan urusan perbankan harian mereka.

Beliau berkata, CIMB memahami cabaran dan kekangan yang dihadapi usahawan terutamanya dalam urusan perbankan komersial, lantaran itu pihaknya memperkenalkan platform Biz123 yang membantu dari segi pengurusan kewangan, pembiayaan dan operasi.

“Biz123 menjanjikan tiga kunci utama iaitu pantas dan mudah; penyelesaian menyeluruh serta sokongan sehenti. Ini dilihat membantu perniagaan untuk terus berkembang dan diuruskan dengan sempurna.

“Platform ini adalah penyelesaian menyeluruh dalam membantu pelanggan kami dari kalangan usahawan. Ia memudahkan pelanggan untuk menjalankan urusan perbankan islamik dan konvensional.

“Kami menjangkakan golongan usahawan muda terutamanya akan memanfaatkan platform Biz123 dalam urusan perniagaan mereka,” katanya selepas pelancaran Biz123 di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, CEO Perbankan Komersial Kumpulan CIMB, Yong Jiunn Run berkata, platform itu juga membantu menaikkan sumbangan ekonomi dari kalangan PKS yang ketika ini berada pada 36 peratus.

Jiunn Run berkata, dengan adanya Biz123, ia sekaligus membantu merealisasikan hasrat kerajaan dalam menambah sumbangan ekonomi dari PKS kepada 40 peratus menjelang tahun hadapan.

“Mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya 95 peratus sumbangan usahawan adalah dari PKS. PKS adalah elemen utama dalam ekonomi negara, malah ia juga menyumbang kepada 65 peratus pekerjaan di Malaysia.

“Lantaran itu, Biz123 dilihat dapat membantu usahawan PKS terutamanya menguruskan kewangan dan operasi syarikat dengan mudah selain turut ditawarkan pembiayaan kewangan,” katanya.

Jiunn Run berkata, Biz123 memberikan perkhidmatan mudah dalam pembukaan akuan secara dalam talian, pemprosesan dan pembayaran yang cepat selain dokumentasi yang ringkas.

Beliau berkata, ia juga menjadi pusat sokongan sehenti dengan menyediakan pusat panggilan perniagaan, kehadiran dan jaringan cawangan yang luas selain sokongan yang merentasi sempadan ASEAN.

Katanya, pelanggan boleh membuat dan menerima bayaran tetap dalam 12 jenis mata wang asing apabila menjalankan transaksi perniagaan luar negara selain menawarkan kadar faedah, keuntungan yang menarik.

NAMA PENGARANG: ALZAHRIN ALIAS
SUMBER: http://www.bharian.com.my