Cuba berhasrat mewujudkan hubungan perdagangan secara langsung dengan Malaysia, termasuk yang menggunakan sistem barter, bagi meringankan beban kekurangan bekalan yang dihadapi negara pulau Caribbean itu ketika ini.

Duta Cuba ke Malaysia Ibete Fernandez Hernandez berkata sistem itu akan menyumbang ke arah meringankan beban yang didepani negara tersebut susulan peningkatan sekatan perdagangan oleh Amerika Syarikat (AS).

“Jika kita (Malaysia-Cuba) boleh menjadikan perdagangan barter (satu realiti), ia adalah sesuatu yang hebat. Kemudahan ini akan membantu kami menangani catuan makanan bagi mengatasi kekurangan bekalan. Sebagai contoh, memandangkan Cuba mengeluarkan vaksin dan Malaysia mempunyai barangan makanan, kita boleh melakukan pertukaran.

“Dalam apa jua cara di mana kita boleh bekerjasama, contohnya melakukan pertukaran melalui penghantaran, saya rasa tiada masalah akan timbul malah ini merupakan pendekatan terbaik pada waktu-waktu yang sukar ini.”

Hernandez berkata demikian kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama di kediaman beliau di sini baru-baru ini sebagai respons kepada tindakan AS mempertingkat sekatan ke atas Cuba. – BERNAMA

perdagangan-Cuba-Malaysia.jpg