DFTZ Bantu Tingkat Pertumbuhan PKS

Pelaksanaan projek perintis Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) pada Oktober ini mampu meningkatkan operasi dan pertumbuhan usahawan tempatan terutama dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ia sekali gus menyediakan persekitaran lebih kondusif kepada peniaga yang menyertai ekonomi internet untuk memperluaskan pasaran produk serta perkhidmatan mereka ke peringkat global.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, DFTZ menyediakan platform kepada peniaga untuk mengeksport produk dan perkhidmatan mereka ke peringkat lebih meluas. “Menjadi matlamat DFTZ untuk menggandakan pertumbuhan e-dagang dan membantu meningkatkan sumbangan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada RM211 bilion menjelang 2020.

“Justeru, usahawan tempatan perlu mengambil peluang itu untuk mempertingkatkan serta mengukuhkan keupayaan perniagaan mereka untuk lebih berdaya saing dan mapan,” katanya pada pelancaran Minggu Ekonomi Digital 2017, di sini, hari ini. Beliau berkata, segmen e-dagang pada ketika ini dilihat berkembang pesat selari dengan peningkatan penggunaan internet dalam kalangan rakyat, sekali gus membuktikan keupayaan Malaysia untuk mencapai ekonomi digital yang mapan.

“Di Malaysia sahaja, ada kira-kira 21 juta pengguna internet dalam populasi 30 juta penduduk dengan kadar penembusan telefon bimbit ialah 143.8 peratus. “Dengan peningkatan bilangan pengguna internet di negara ini dan ketersediaan penggunaan pelbagai jenis gajet seperti komputer riba, tablet dan telefon pintar, ekonomi digital mampu menyediakan peluang besar bagi peniaga untuk memperluaskan rangkaian operasi serta pelanggan mereka,” katanya.

Beliau berkata, ekonomi digital kini menyumbang 17.8 peratus kepada KDNK Malaysia, dengan potensi untuk meningkat kepada 20 peratus menjelang 2020. Selain itu beliau berkata, pelancaran platform atas talian Go eCommerce pada 26 Julai lalu turut membimbing usahawan PKS dalam penggunaan e-dagang. “Platform yang disediakan sebagai pusat sehenti bagi perniagaan atas talian itu kini merekodkan pendaftaran lebih 1,300 usahawan PKS. “Mereka menerima pelbagai bimbingan, pengetahuan dan kemahiran untuk mentransformasikan perniagaan mereka kepada eksport e-Commerce yang berpotensi,” katanya.

NAMA PENGARANG: NURHAYATI ABLLAH

SUMBER: http://www.bharian.com.my