Dialog Niaga Agrobank 2019 (DNA 2019) anjuran Agrobank yang bertemakan memperkukuhkan ekonomi dan mencipta kekayaan melalui perniagaan agro pada hari ini telah menarik minat 300 peserta dengan sesi perkongsian maklumat tersebut terdiri daripada pembentuk dasar pertanian, usahawan-usahawan agro baharu, agensi-agensi kerajaan dan swasta, ahli akademi serta pemain industri bagi sektor pertanian dan industri asas tani.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub telah hadir merasmikan dialog ini dan turut menyampaikan ucaptama yang bertajuk ‘Hala Tuju MOA 2019’ bagi membincangkan tentang hala tuju dan strategi terbaharu MOA.

Pengerusi Lembaga Pengarah Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, tema DNA pada tahun ini memberi fokus pertanian sebagai sumber rezeki bukan sahaja untuk tingkatkan taraf hidup diri sendiri tetapi untuk komuniti dan juga memperkukuhkan ekonomi negara.

“Selain prospek dan peluang dalam bisnes agro, kita juga ketengahkan inisiatif usahawan agro yang bukan sahaja membangunkan diri sendiri tetapi juga berusaha untuk membangunkan usahawan lain dalam rantaian nilai dan juga memperkasakan komuniti melalui peluang dalam bentuk pekerjaan ataupun bimbingan keusahawanan.

“Usaha ini seiring dengan mandat Agrobank yang komited dengan nilai perantaraan berasaskan nilai atau ‘value-based intermediation’ (VBI) dan memberi fokus untuk menjana ekonomi dan impak positif kepada komuniti,” ujarnya.

DNA2019.jpg