Element AI, sebuah syarikat global yang menyediakan produk-produk perisian AI yang mengukuhkan keputusan bagi menjadikan perniagaan lebih selamat, lebih mantap dan lebih tangkas, baru-baru ini mengumumkan perkongsian dengan GIC, SGInnovate dan Singapore Management University (SMU) dalam sebuah acara yang dihadiri oleh Perdana Menteri Kanada, Yang Amat Berhormat Justin Trudeau, diiringi oleh Menteri Kepelbagaian Perdagangan Antarabangsa Jim Carr. Turut hadir bagi menyaksikan penandatanganan dan menyampaikan ucapan ialah Menteri Komunikasi dan Maklumat Singapura, T.Y.T. S Iswaran.

Perkongsian ini meluaskan jejak Element AI di Asia dan mengukuhkan lagi komitmennya terhadap ekosistem AI Singapura, bermula dengan syarikat-syarikat besar kepada komuniti syarikat baharu serta dunia akademik. Sebagai sebahagian daripada misi pengembangan globalnya, Element AI mereplikasi model kejayaan terbukti dengan berganding bahu bersama syarikat-syarikat utama yang berpangkalan di Singapura, inkubator-inkubator syarikat baharu dan institusi-institusi penyelidikan bagi menukar kejayaan akademik terkini kepada produk AI yang tangkas yang dapat disepadukan dan disesuaikan secara unik dengan meluas.

“Ekosistem perindustrian Singapura terdiri daripada institusi-institusi terkenal yang mempunyai kepakaran mendalam dalam membangunkan perusahaan global, inkubator dengan sejarah terbukti dalam melancarkan syarikat-syarikat yang mengubah dunia serta institusi-institusi akademik berprestij yang menjalankan penyelidikan penting untuk memahami dunia di sekeliling kita dan menerangi laluan ke hadapan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Element AI Jean-Francois Gagne. “Ekosistem teknologi Singapura ini tidak asing lagi buat kami di Element AI kerana persekitaran inilah yang membawa kepada penciptaan syarikat kami, maka kami teruja untuk menandatangani perjanjian dengan rakan-rakan kongsi yang sealiran dengan kami pada hari ini. Melalui penyelidikan kolaboratif yang memanfaatkan kepakaran terbaik dan paling bijak dari Singapura dan Kanada, kami amat teruja dengan kemungkinan yang dapat dicapai tatkala kami menumpu untuk memperkukuh kecerdasan kolektif dan mengubah industri sebagaimana yang kami ketahui dengan bantuan daripada produk-produk AI bertumpu peranan.”

Ekosistem AI Singapura adalah unik dari segi kebolehannya untuk menggabungkan usaha-usaha kerajaan, dunia akademik dan perusahaan persendirian bagi memajukan penerimaan teknologi dalam AI. Sebagai contoh, GIC melalui makmal inovasinya, mempercepatkan penggunaan teknologi inovatif dan menginkubasi idea-idea baharu, melalui kolaborasi dengan unit perniagaannya, syarikat baharu, organisasi penyelidikan dan universiti. Perkongsian baharu antara Element AI dan GIC memulakan satu kolaborasi yang akan menumpu pada aplikasi teknik-teknik pembelajaran mesin termaju hinggalah kepada masalah-masalah mencabar yang dihadapi oleh pengurus-pengurus aset besar. Mereka akan bersama-sama menjalankan kajian tentang trend-trend teknologi yang dapat dilaksanakan dalam seluruh perusahaan.

Perkongsian antara Element AI dan SGInnovate akan mengutamakan peluasan himpunan bakat teknologi mendalam di Singapura dan pembangunan ekosistem syarikat baharu teknologi yang pantas berkembang di ASEAN. Element AI dan SGInnovate akan bersama-sama menumpu pada potensi syarikat-syarikat baharu berkaitan AI bagi membantu syarikat-syarikat dan kerajaan-kerajaan menangani pelbagai cabaran.

Setakat ini, kedua-dua pihak akan bersama-sama menganjurkan beberapa acara dan bekerjasama dengan pengasas-pengasas teknikal bagi mencipta peluang-peluang untuk syarikat-syarikat baharu menggunakan, memperbaiki dan terus meluaskan penyelesaian AI. Hal ini sebahagiannya akan dilaksanakan melalui kolaborasi dengan syarikat-syarikat portfolio SGInnovate serta daripada pasaran yang lebih luas.

Steve Leonard, Ketua Pegawai Eksekutif Pengasas SGInnovate berkata, “Dua tahun lalu, SGInnovate dilancarkan dengan misi untuk membantu ‘saintis-usahawan’ membentuk, membina dan meluaskan syarikat-syarikat baharu teknologi mendalam. Memandangkan sukar untuk membina sebuah syarikat teknologi mendalam, kami sedia maklum betapa pentingnya untuk bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi yang hebat. Hubungan baharu kami dengan Element AI, salah sebuah syarikat baharu AI yang paling menarik di dunia, akan membantu kami meningkatkan impak kami sebagai pelabur teknologi mendalam dan pembina syarikat. SGInnovate dan Element AI akan berusaha bagi mewujudkan peluang-peluang komersial untuk syarikat-syarikat baharu teknologi mendalam bagi tujuan membina, menggunakan, memperbaiki dan meluaskan penyelesaian sistem AI. Melalui perkongsian usaha antara SGInnovate dan Element AI, ekosistem syarikat baharu teknologi mendalam di seluruh ASEAN akan turut diberi rangsangan.”

SMU ialah sebuah universiti bandar yang dinamik, terletak di tengah-tengah Singapura dan menumpu pada bidang-bidang Pengurusan, Sains Sosial dan Pengkomputeran (termasuk AI) dan yang bersilangan antaranya. Universiti ini mengguna pakai pendekatan amalan-pembelajaran-pengajaran-penyelidikan bersepadu yang mencipta kesan positif terhadap perniagaan, kerajaan dan masyarakat. Sekolah Undang-undang SMU baru-baru ini dianugerahkan dengan geran kompetitif bernilai $4.5 juta oleh Yayasan Penyelidikan Kebangsaan Singapura bagi menubuhkan Pusat untuk AI dan Tadbir Urus Data (CAIDG) yang pertama seumpamanya, yang dilancarkan kepada umum pada September 2018.

Element AI dan Sekolah Undang-undang SMU akan memulakan kolaborasi penyelidikan dalam bidang-bidang berkaitan berhubung tadbir urus AI. SMU khususnya akan bertanggungjawab untuk melaksanakan aspek-aspek penyelidikan Singapura dan ASEAN manakala Element AI akan menumpu pada aspek-aspek Amerika Utara selain memanfaatkan jaringan penyelidik globalnya. Kesemua pihak akan bersama-sama berkongsi maklumat, alatan dan pendekatan demi menyampaikan isu dan kertas cadangan.

Profesor Madya Goh Yihan, Dekan Sekolah Undang-undang SMU dan Pengarah Awal CAIDG berkata, “Dalam usaha menjalankan penyelidikan kami tentang isu-isu Tadbir Urus AI, kami menekankan kepentingan untuk berkomunikasi dengan dunia akademik dan industri. Hal ini benar khususnya tatkala kami mewujudkan impak bermakna dalam bidang yang pantas bergerak ini dan mengapa kami amat teruja berhubung kolaborasi kami dengan Element AI. Ini pastinya merupakan satu perkongsian hebat; saya berharap dapat berganding bahu bersama-sama untuk mengenal pasti dan menyelidik topik-topik relevan pada bulan-bulan akan datang.” – PR NEWSWIRE

Manufacturing-hr.jpg