Dalam Majlis Pelancaran Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETR) 2.0 semalam, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata BETR 2.0 ini merupakan satu lembaran berwajah baharu terhadap perjuangan memperkasakan Agenda Bumiputera yang juga dikenali sebagai Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB).

Beliau berkata TKB lebih bersifat inklusif dan holistik jika dibandingkan dengan Agenda Bumiputera lain yang lebih berfokus kearah ekonomi sahaja. Selain itu, TKB juga merangkumi segenap aspek kesejahteraan hidup seperti pendidikan, kesihatan, sosial dan budaya.

Kini TKB telah memasuki fasa kedua dan lebih menekankan kepada Lima Transformasi Utama Bumiputera iaitu melonjakkan skala Bumiputera, memperkasakan modal insan Bumiputera, meningkatkan daya saing Bumiputera, mendayakan mobiliti sosial Bumiputera dan mentransformasikan kesejahteraan Bumiputera secara tuntas dan holistik.

Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Zahid Hamidi serta Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Unit Peneraju Bumiputera (TERAJU).