Khamis, 23 November 2017 – Baru dua tahun diperkenalkan, Shopee iaitu platform eDagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan berjaya mencatat rekod perkembangan cemerlang apabila mencatat kira-kira 80 juta muat turun di rantau ini.

Pencapaian cemerlang itu turut membabitkan 180 juta senarai produk aktif oleh lebih empat juta usahawan.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho, berkata sehingga kini terdapat kira-kira 5,000 jenama dan pengedar ternama menyertai Shopee.

“Sejak mula dilancarkan pada 2015, jumlah tenaga kerja Shopee berkembang sehingga 2,500 orang.

“Shopee melalui transformasi mendadak sejak pelancarannya dan kami berbangga dengan pencapaian ini yang dianggap satu permulaan yang baik.

“Kami berjaya mencipta satu platform yang menepati kehendak pengguna kerana Shopee komited terhadap keperluan dan pilihan mereka,” katanya pada sambutan ulang tahun kedua Shopee, di sini.

Ho berkata, Shopee akan terus berusaha meningkatkan kualiti hidup pengguna dan perniagaan di rantau ini menerusi teknologi, selain menyediakan pengalaman beli-belah yang cepat dan mudah kepada pengguna.

Boleh dipercayai, selamat

“Selain itu, Shopee juga adalah platform yang boleh dipercayai dan selamat kepada jenama serta usahawan baharu,” katanya.

Ho berkata, aplikasi Shopee yang boleh dimuat turun menerusi telefon bimbit memberi kelebihan kepadanya untuk mendapat lebih ramai pelanggan berbanding perniagaan e-Dagang lain.

Katanya, peningkatan bilangan pengguna membeli-belah secara dalam talian menjadikan 2017 adalah tahun cemerlang Shopee Malaysia.

“Antara pencapaian Shopee Malaysia tahun ini termasuk mencatat jumlah muat turun lebih lima juta dan mempunyai lebih 200,000 usahawan serta jenama termasuk Shojikiya, Pets Wonderland, OnePlus, Pureen, Lovely Lace dan Mentholatum.

“Peningkatan ini sejajar hasrat kerajaan meningkatkan ekonomi digital yang dijangka menyumbang 20 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2020,” katanya.

Ho berkata, pihaknya juga melancarkan Shopee Mall iaitu satu portal beli-belah premium yang menawarkan lebih 100,000 produk secara eksklusif oleh pelbagai jenama terkemuka dan pengedar sah.

Beliau berkata, inisiatif ini berjaya menarik banyak jenama terkemuka memilih Shopee sebagai platform meningkatkan perniagaan dalam talian mereka.

Tingkatkan inovasi

Katanya, penganjuran satu siri bengkel kemahiran bertujuan membantu usahawan dan perniagaan tempatan berjaya dalam perniagaan eDagang bagi membimbing lebih 4,000 peserta dari 10 negeri juga turut diadakan.

“Kami akan terus fokus untuk meningkatkan inovasi platform kami dan mempelbagaikan produk pilihan yang ada.

“Shopee juga komited membantu jenama dan usahawan tempatan berkembang merentas sempadan eDagang untuk menjadi destinasi beli-belah dalam talian pilihan di rantau ini,” katanya.

Sempena ulang tahun kedua, Shopee menganjurkan jualan murah dari 1 hingga 14 Disember. Jualan kilat Shocking Sale pada harga serendah RM12 akan berlangsung selama lima hari.

Turut disediakan Kemuncak Shopee Mall Berganda, TawaranMega 12.12 dengan harga bermula RM12, Baucer Beat the Clock bernilai RM5,000 untuk dimenangi dan pelbagai promosi menarik disediakan kepada pelanggan.

Nama Pengarang: Haryani Ngah

Sumber: www.bharian.com.my