Bagi meraikan usahawan tempatan kraftangan, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia mengadakan Hari Kraf Kebangsaan 2017 bermula 22 Februari sehingga 6 Mac ini bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Program tersebut dirasmikan oleh Datin Paduka Seri Rosmah Mansor di Panggung Sari Kompleks Kraf semalam. Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, YBhg Puan Hajah Zuraida Mokhtar berkata, program ini memberi peluang kepada 400 usahawan kraf untuk mempromosikan lebih daripada 4,000 hasil kraftangan mereka antaranya tekstil, hasil rimba, seramik serta logam.

Memandangkan pada tahun lalu, HKK Berjaya menghimpunkan 33,000 pengunjung dengan nilai jualan sebanyak RM12.2 juta, pada tahun ini pula program ini menyasarkan 50,000 pengunjung serta RM15 juta nilai jualan. HKK 2017 kali ini yang bertemakan Kraf Menjana Ekonomi memberi pengiktirafan kepada usahawan kraf tempatan atas usaha serta komitmen mereka dalam membangun dan mengembangkan industri kraf kepada ekonomi negara.

Bagi menarik perhatian pelanggan, mereka tampil dengan kraf yang lebih moden serta produk baru seperti batik madu tiga yang diperbuat menggunakan 3 jenis acuan blok batik. Mereka juga mengadakan pameran empat buah chalet mesra alam yang berkonsepkan tradisional dari negeri Perak, Pahang, Terengganu serta Johor. Oleh itu, orang ramai dialu-alukan untuk berkunjung ke program tersebut bagi menyokong usahawan tempatan kraftangan. Untuk maklumat yang lebih lanjut, boleh layari laman rasmi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia di www.kraftangan.gov.my.