Pengerusi Kazakh Invest, Saparbek Tuyakbayev mendedahkan minat Kazakhstan untuk menarik lebih banyak pelaburan dari Malaysia terutamanya dalam bidang pendidikan, pengangkutan dan industri makanan.

Malah, sudah ada beberapa rundingan yang sedang dijalankan dalam bidang pendidikan, katanya.

“Kami sedang berunding. Sama ada menjelang akhir tahun atau awal tahun depan, kami berharap dapat membuat beberapa pengumuman mengenai pelaburan baharu dari Malaysia, terutama dalam bidang pendidikan,” katanya kepada wakil media asing pada akhir Forum Ekonomi Astana 2019, baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butirannya seperti institut pendidikan tinggi mana yang terlibat.

Pada tahun-tahun akan datang, Kazakhstan menyasarkan untuk membina rangkaian sekolah antarabangsa serta kolej dan kampus pendidikan di ibu negaranya Nur-Sultan.

Tuyakbayev juga berkata Kazakhstan turut berminat untuk mencontohi Piawaian Halal Malaysia berikutan negara merancang mengembangkan industri makanannya.

“Piawaian halal Malaysia diterima dengan baik di banyak negara, dan jika kami mahu mengeksport produk makanan kami, terutamanya kepada negara majoriti Islam seperti negara-negara Teluk, akan lebih mudah (dengan mempunyai pensijilan halal),” katanya.

Malah di Kazakhstan sendiri, umat Islam merupakan 70 peratus daripada jumlah 18.3 juta penduduknya.

Malaysia ialah antara rakan dagangan utama Kazakhstan di rantau Asia Tenggara. – BERNAMA

Astana-Economic-Forum-2019.jpg