Sebuah kaji selidik oleh CPA Australia mendapati sektor perniagaan kecil Malaysia pada tahun 2018 berada di tahap keadaan perniagaan yang positif dengan keyakinan terhadap pertumbuhan ekonomi dan perniagaan berjaya merekodkan paras paling tinggi sejak 2012.

Ketua Negara (Malaysia) CPA Australia, Priya Terumalay berkata, Kaji Selidik Tahunan Perniagaan Kecil Asia Pasifik Ke-10 telah mencatatkan perubahan positif sentimen dalam kelompok perniagaan kecil Malaysia berdasarkan fokus berlanjutan sektor terlibat bagi memacu pertumbuhan tersebut.

“Sektor ini mengalami pertumbuhan kukuh dalam tempoh 12 bulan dengan 65.5 peratus daripada responden melaporkan mereka berkembang dalam tempoh ini.

“Jika diperhatikan pada 2019, keputusannya juga menampakkan petanda positif dengan tiga suku daripada perniagaan kecil dijangkakan akan berkembang tahun ini,” katanya.

Kaji Selidik Tahunan Perniagaan Kecil Asia Pasifik Ke-10 CPA Australia merangkumi lebih 3,600 usahawan perniagaan kecil dari Malaysia, Vietnam, Indonesia, China, Hong Kong, Taiwan, Filipina, Singapura, Australia dan New Zealand.