Kerajaan menggalakkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan agar memanfaatkan platform media sosial terutamanya Facebook dalam menjana produktiviti perniagaan masing-masing memandangkan medium tersebut dilihat berpotensi menyumbang kepada ekonomi digital.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, media sosial adalah contoh teknologi terkini yang bertindak sebagai pemudahcara urus niaga PKS berkembang secara lebih meluas bukan sahaja di pasaran tempatan malah ke peringkat global.

“Bagi PKS, ia boleh menjadi daya tarikan memiliki ribuan kenalan di Facebook yang sekaligus akan membawa kepada lonjakan trafik ke tapak laman web atau lokasi runcit.

“Kerajaan juga sentiasa menggalakkan dan memberi insentif kepada pelaburan serta kerjasama dalam menjadikan Malaysia sebagai hab perkhidmatan dan komunikasi digital.

“Di samping itu, kerajaan juga menggalakkan syarikat Malaysia meningkatkan keupayaan mereka dalam bidang ini dengan bekerjasama dengan firma multinasional dalam usaha kita menjadi juara serantau atau global,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat Facebook Malaysia di Menara Q Sentral Kuala Lumpur, semalam.

Majlis-Perasmian-Pembukaan-Pejabat-Facebook-Malaysia-Kredit-foto-FB-Dr-Mahathir-bin-Mohamad.jpg