Kerjasama Thailand-Malaysia rancakkan perdagangan sempadan

Thailand dan Malaysia komited untuk memperluaskan perdagangan sempadan dan meningkatkan nilai dagangan dua hala di selatan Thailand dan utara Semenanjung Malaysia.

Ketua Delegasi Kementerian Perdagangan Thailand Sarote Suwattigul berkata pameran perdagangan seperti Pesta Perdagangan Sempadan Selatan Thai merupakan satu inisiatif yang baik untuk memperluaskan ruang kerjasama dan perdagangan sempadan di kawasan itu.

“Kami berharap pameran ini dapat merangsang pertumbuhan dan pelaburan di tiga wilayah sempadan di selatan Thailand, khususnya Narathiwat, Pattani dan Yala.

“Kami mahu program seperti ini meningkatkan hubungan baik dan perdagangan antara usahawan Malaysia dan Thailand dan pada masa yang sama melahirkan lebih ramai pengusaha industri kecil dan sederhana (PKS) yang bakal mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita semalam.

Pameran perdagangan selama tiga hari baru-baru ini di Padang Maharaj, Sungai Golok merupakan anjuran Jabatan Penggalakan Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Perdagangan Thailand. Ia melibatkan sejumlah 120 gerai merangkumi 80 gerai produk dari Thailand dan 40 lagi gerai Malaysia.

Hadir sama ialah Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Afandi Abu Bakar, Pengarah Bahagian Asean dan Oceania Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Raja Badrulnizam Raja Kamarzaman, Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu Mongkol Singsomboon dan wakil-wakil perniagaan dari Malaysia dan Thailand.

Selain pameran produk, pesta tersebut turut mengadakan seminar untuk pengusaha PKS. – BERNAMA

Thailand Malaysia.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.