Ilmu teknologi maklumat (ICT) tanpa sempadan seperti aplikasi WhatsApp, Facebook dan lain- lain membuka cabaran baru dunia buat usahawan. Ilmu seperti ini yang banyak mempengaruhi kehidupan seseorang individu. Walaupun ia dikategorikan sebagai cabaran namun, usahawan melihat cabaran ini sebagai satu peluang untuk memperluaskan lagi rangkaian perniagaan mereka serta meningkatkan daya saing secara sihat. Dengan adanya aplikasi tanpa sempadan ini, sesiapa sahaja boleh memulakan perniagaan dan menjadi usahawan. Bagi menggalakkan lebih ramai usahawan muda, pihak kerajaan khususnya telah menyediakan pelbagai medium bantuan perniagaan.

Dalam Seminar Pelaburan Tempatan Wilayah Selatan 2017, Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Ahmad Maslan berkata, sejumlah RM950 juta daripada keseluruhan RM2 bilion peruntukan bagi Dana Strategik Pelaburan Tempatan (DISF) masih boleh dimohon oleh syarikat tempatan yang layak sehingga tahun 2020. Beliau menambah, dana yang diluluskan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) dan RMKe-11 itu bertujuan membantu syarikat tempatan memanfaatkan peluang, meningkatkan perolehan teknologi serta mendapatkan sijil atau piawaian antarabangsa dalam industri-industri strategik.