Kolaborasi dua negara, Malaysia dan Jepun dilihat berupaya mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran serta penguasaan teknologi pintar Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan dalam mengharungi era Revolusi Perindustrian Keempat (RI 4.0), kata Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa, Dr. Ong Kian Ming.

Beliau berkata, peluang meneroka ilmu berkaitan RI 4.0 terutamanya berkaitan pembuatan pintar wajar dimanfaatkan sebaik mungkin oleh PKS Malaysia memandangkan kemahiran yang dimiliki oleh pakar terlatih dari Jepun mampu mengubah landskap ekonomi negara.

“Kami berhasrat untuk membantu pembekal Malaysia bersedia dalam mengadaptasi ekosistem pembuatan Jepun bagi memulakan perjalanan RI 4.0 mereka melalui kerjasama ini.

“PKS tempatan harus mengambil kesempatan ini untuk mempercepat transformasi digital masing-masing dan bergerak maju ke RI 4.0. Saya juga ingin menggesa syarikat-syarikat besar untuk memainkan peranan aktif dalam membangunkan vendor tempatan mereka.

“Bagi tujuan tersebut, kerajaan menawarkan potongan cukai berganda ke atas perbelanjaan yang ditanggung oleh syarikat peneraju dalam program pembangunan vendor,” katanya dalam ucaptama Seminar Perdana dan Pembuatan Pintar Kolaborasi Malaysia-Jepun di Menara MITI Kuala Lumpur, hari ini.

Kian-Ming-ketika-menghadiri-Seminar-Perdana-dan-Pembuatan-Pintar-Kolaborasi-Malaysia-Jepun.jpg