Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata semakin banyak negara mencari peluang untuk mempelajari kepakaran Malaysia dalam industri halal khususnya melalui pensijilan serta ekosistem.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata Jepun, Taiwan, Chile, Kazakhstan dan Uzbekistan ialah antara negara yang melahirkan minat untuk memanfaatkan pengalaman Malaysia sebagai perintis pensijilan halal dan ekosistem industri.

“Kita telah mendahului berbanding negara Muslim yang lain,” katanya kepada Bernama, dan menurutnya hasrat tersebut akan mendorong Malaysia untuk terus maju dalam industri halal.

Wan Latiff berkata industri halal ialah satu daripada industri yang diberikan tumpuan istimewa oleh kerajaan meliputi rancangan induk industri, selain penubuhan Majlis Halal Malaysia bagi menyelaras dan memantau pelaksanaan inisiatif halal menerusi rancangan induk itu.

“Dengan komitmen kerajaan, kita dapat melihat bahawa industri halal di Malaysia berkembang pesat,” katanya memaklumkan setakat ini terdapat 13 piawaian halal di negara ini yang menjadi panduan bagi syarikat Malaysia berkembang maju dalam industri tersebut.

“Kira-kira 8,000 syarikat Malaysia mempunyai pensijilan halal dengan 1,700 daripadanya merupakan pengeksport,” kata Wan Latiff. – BERNAMA

Wan-Latiff-Kredit-foto-FB-Matrade-HQ.jpg