Perbadanan Digital Malaysia (MDEC) menyarankan syarikat tempatan mengguna pakai teknologi terkini bagi meningkatkan model perniagaan pada masa depan dan pada masa yang sama membangunkan aliran pendapatan baharu.

Naib Presiden (Pembangunan Ekosistem Pertumbuhan) Norhizam Kadir berkata menerusi Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) yang giat diusahakan, syarikat tidak lagi boleh ketinggalan memandangkan inovasi yang lebih baharu terus muncul dan mengubah keadaan sedia ada yang wujud sekarang.

“Trend industri seperti kecerdasan buatan, pembelajaran mesin dan analitis maju telah banyak mengubah keadaan, dan kini bergerak untuk mendigitalkan dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norhizam berkata demikian pada Sidang Kemuncak Inovasi Asia anjuran enterprise SAP di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, PIKOM, Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia, juga percaya bahawa teknologi kini menjadi tumpuan dengan gangguan kini sudah biasa dalam IR 4.0.

Pengerusinya Ganesh Kumar Bangah berkata perniagaan tempatan mesti bersedia untuk berevolusi dan cepat menerima, memahami dan menyesuaikan diri dalam proses transformasi ini.

“Ini terpakai kepada semua sektor industri memandangkan gangguan tidak bersifat diskriminatif,” katanya. – BERNAMA

Norhizam pada Sidang Kemuncak Inovasi Asia 2019.jpg