Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan (MPUPK) telah menyenaraikan lapan langkah bagi meningkatkan lagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) demi mencapai sasaran sumbangan KDNK sebanyak 41 peratus kepada negara menjelang 2020.

Di antara langkah-langkah yang telah dibincangkan termasuklah memperhebatkan pendigitalan oleh PKS, meningkatkan integrasi PKS ke dalam rantaian bekalan, menyokong lebih banyak PKS yang mempunyai pertumbuhan tinggi melalui insentif berkaitan dan memudahkan mekanisme pembiayaan alternatif.

Selain itu, langkah meningkatkan penyertaan PKS dalam rantaian industri pelancongan, melonjakkan tahap kesediaan berserta daya saing PKS untuk menerapkan model perniagaan dan teknologi ‘innovative-disruptive-compelling’ dengan memacu pertumbuhan, mengukuhkan dan menggalakkan eksport gerbang pembayaran tempatan serta teknologi kewangan (fintech) oleh PKS Malaysia turut disenaraikan.

“Malah, kerajaan juga telah bersetuju untuk memperkenalkan sasaran makro tambahan bagi tahun 2020 dan tahun-tahun berikutnya iaitu sasaran pertumbuhan tahunan KDNK PKS antara 6 hingga 8 peratus setahun dan sasaran pertumbuhan tahunan eksport PKS antara 5.5 hingga 7.5 peratus setahun,” jelas SME Corp. dalam satu kenyataan, semalam.

MPUPK telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof.

Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan (Kredit foto SME Corp).jpg