Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) akan memfokuskan transformasi ekonomi utama melalui Inisiatif Runcit Digital (DRI) di Persidangan Peruncitan MRCA dan Pameran Runcit & Francais Antarabangsa (MIRF) dalam sidang media hari ini di St. Giles The Gardens Hotel, Kuala Lumpur.

Bertemakan Innovasi: Masa Depan Bermula Hari Ini, Persidangan Runcit MRCA menampilkan barisan tokoh pengurusan seperti Dato’ Sri Idris Jala, Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Dato’ Yasmin Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), dan Dato’ Seri Ivan Teh, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah Urusan ADV Fusionex.

Persidangan ini bertujuan untuk mengukuhkan DRI yang telah diperkenalkan oleh MRCA dan menyediakan peluang menerokai penggunaan perkakasan dan teknologi terkini operasi peruncitan. Di samping itu, persidangan ini juga bertujuan untuk menggalakkan pengantarabangsaan serta mendekati pengguna Gen-Y dan golongan pekerja. Persidangan ini akan diadakan pada 12 Julai 2017 di Garden Hotel, Kuala Lumpur.

Berikutan kejayaan Pameran Runcit & Francais Antarabangsa (MIRF) yang julung kali diadakan pada 2016, MRCA terus melengkapi keperluan setiap profesional dengan pelbagai ciri-ciri pendidikan dan peluang jaringan perniagaan. Sejajar dengan halatuju MRCA dalam pelan peruncitan merentasi sempadan, MIRF meletakkan Malaysia sebagai hab runcit dan francais antarabangsa, dan untuk mencari pelabur serta rakan kongsi. Pameran ini akan diadakan bermula 13 hingga 16 Julai 2017 di Pusat Pameran Mid Valley (MVEC).

Persidangan Peruncitan MRCA dan MIRF 2017 adalah anjuran bersama dengan Nexus Runcit dan Produktiviti F&B daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia, dan Kumpulan Mah Sing, dengan sokongan daripada Penaung Korporat MRCA – Maxis, Maybank, Mastercard, Fusionex dan Quill Automobiles.