Setiap orang berkeinginan untuk menambah sumber pendapatan masing-masing, majoriti bersetuju bahawa melalui perniagaan sumber pendapatan akan lebih terjamin. Bukan setakat sumber pendapatan sahaja malah waktu bekerja juga akan menjadi lebih fleksibel. Mengapa perlu bersaing dalam mengisi jawatan kosong jika anda sebenarnya dilahirkan untuk menjadi seorang bos? Hari ini, sumber kewangan bukan lagi alasan untuk memulakan perniagaan. Terdapat banyak saluran pembiayaan yang senantiasa terbuka untuk membantu para usahawan dalam melicinkan perniagaan mereka.

Sebagai contoh, baru-baru ini SME Corp telah meluluskan sejumlah RM164 juta geran kepada 1,866 pemohon di bawah Program Peningkatan Enteprise Bumiputera (BEEP). Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata, BEEP bertujuan untuk memastikan usahawan PKS, terutamanya Bumiputera mendapat bantuan dalam menguruskan perniagaan mereka. Beliau mahu usahawan lebih kreatif dalam perniagaan dan sentiasa mencari peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Selain itu, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Noraini Ahmad berkata, produk halal berasaskan bahan makanan dan minuman, hasil minyak serta kosmetik mempunyai permintaan yang amat tinggi di negara luar terutamanya negara Jepun. Beliau mahu usahawan tempatan mengambil kesempatan ini untuk mengembangkan rangkaian eksport mereka sehingga ke Jepun memandangkan Malaysia merupakan rakan niaga keempat Jepun yang terbesar dengan jumlah perdangangan sehingga 8.1%.