Bermula 1 Januari 2017, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk membantu pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam membuat pendaftaran perniagaan secara percuma dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Bantuan ini dikenali sebagai skim 1Pelajar 1Perniagaan. Geran tersebut akan dibahagikan sebanyak Rm1 juta setiap tahun dan akan memberi pendaftaran percuma kepada pelajar IPT sehingga tahun 2027. Dengan agihan tersebut kira-kira 1,000 usahawan yang dijangka akan mendaftar pada setiap tahun.

Objektif utama pemansuhan yuran pendaftaran perniagaan ini adalah untuk menggalakkan golongan muda untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan. Usaha ini dilihat dapat membantu golongan muda untuk merancang masa depan mereka dengan melibatkan diri dengan dunia perniagaan sejak dari awal tanpa bergantung dengan pekerjaan di sektor awam mahupun swasta.

Sehingga 21 Februari, sebanyak 3,403 pelajar IPT yang telah mendaftar dengan SSM. Bagi pelajar IPT yang berminat untuk membuat pendaftaran boleh di buat di kaunter SSM atau secara talian melalui perkhidmatan ebiz di laman rasmi SSM iaitu www.ssm.com.my.