Dalam usaha mewujudkan persekitaran perniagaan yang dinamik, berdaya saing serta kondusif, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mengambil pendekatan drastik dengan memansuhkan Akta Syarikat 1965 dan menggantikannya dengan Akta Sya­rikat 2016. Akta Syarikat baharu ini telah berkuatkuasa sejak 31 Januari 2017 lepas. Pengerusi SSM, YBhg Dato’ Sri Jamil Salleh berkata akta syarikat yang diluluskan oleh Parlimen tahun lalu bakal memberikan suntikan baru ke arah pemudahcaraan menjalankan perniagaan di Malaysia.

Peruntukan akta baharu itu dijangka akan mengurangkan beban dan kos pematuhan, memberi kemudahan kepada syarikat dan meningkatkan tahap kecekapan, kebertanggungjawaban serta perlindungan terhadap pihak berkepentingan selaras dengan piawaian tadbir urus korporat antarabangsa dan moden. Beliau turut berkata bagi melicinkan lagi perlaksanaan Akta Syarikat ini, peraturan-peraturan Syarikat 2017 juga akan dikuatkuasa pada tarikh tersebut.

Untuk maklumat lanjut berhubung dengan Akta Syarikat 2016, Peraturan-peraturan Syarikat 2017 serta dokumen atau borang-borang yang perlu digunakan untuk tujuan penyerah simpanan dengan SSM. Orang ramai boleh layari laman web rasmi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ke www.ssm.com.my.