Malaysia mempunyai sejumlah besar gentian semula jadi/biomas dari sector pertanian yang belum dimanfaatkan sepenuhnya. Gentian/biomas ini terdiri daripada sekam padi, batang kelapa, biomas kelapa sawit dalam bentuk batang kelapa sawit (OPT), daun pelepah kelapa sawit (OPF) dan tandan buah kosong (EFB) yang boleh menjadi sumber alternatif kayu untuk masa depan dan berpotensi untuk menghasilkan produk biokomposit seperti papan lapis, papan gentian, papan serpai dan wood plastic composite (WPC) kepada produk nilai tambah seperti perabot secara komersil.

Potensi industry gentian dan biokomposit ini dalam sector perkayuan adalah tinggi. Sehubungan itu, MTIB telah menubuhkan Pusat Biokomposit dan Gentian (FIDEC) pada tahun 2008 sebagai satu pusat untuk membangunkan produk gentian dan biokomposit sehingga ke pengkomersilan industri.  Di samping itu, pusat ini juga menyediakan kemudahan pemprosesan dan perkhidmatan pengujian kepada industri dan university yang berkaitan dengan produk kayu dan biokomposit.

Antara peranan FIDEC adalah menjalankan penyelidikan dan pembangunan serta menyelaras pembangunan industry gentian dan biokomposit di Malaysia, selaras dengan itu, FIDEC telah mengambil inisiatif dengan menyediakan beberapa kemudahan pemprosesan dan perkhidmatan pengujian yang diperlukan oleh industry kayu-kayan dan biokomposit.

Pada tahun 2013, satu lagi bangunan dengan lima makmal dikenali sebagai FIDEC 2 telah dibangunkan untuk menyediakan perkhidmatan pengujian mekanikal, polimer, analitikal, kimia dan formaldehyde.

Seterusnya MTIB mendapati terdapat keperluan untuk memperluaskan skop bagi pembangunan produk biokomposit yang berteknologi tinggi atau Advanced Green Composite dan pengujian fizikal dan mekanikal perabot.

Sehubungan itu, MTIB telah memohon dengan EPU untuk membangunkan satu kemudahan/fasiliti baru dikenali sebagai FIDEC 3.  FIDEC 2 dan FIDEC 3 adalah menggunakan peruntukan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMke10) dibawah Program Menaiktaraf Kemudahan Pengujian Dan Penghasilan Produk Gentian Dan Biokomposit Untuk Pengkomersilan.

Secara keseluruhannya, FIDEC ini merupakan satu pusat setempat atau one stop centre untuk aktiviti pembangunan dan penyelidikan produk biokomposit berasaskan gentian semulajadi ke

Arah pengkomersilan.  Ini adalah bagi mengalakan penggunaan bahan mentah alternatif untuk penghasilan produk kayu dan biokomposit bernilai tambah tinggi.

Di FIDEC 3, disediakan kemudahan pemprosesan gentian dan perkhidmatan pengujian perabot dengan piawian antarabangsa. Dengan kemudahan yang tersedia ini, pihak industri boleh membangunkan produk biokomposit yang berkualiti tinggi dan menjadi hub untuk aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan.

Makmal pengujian terletak di FIDEC 1 dan 2 telah mendapat pengiktirafan akreditasi ISO/IEC 1705 dari Standard Malaysia pada tahun 2015 untuk pengujian mekanikal dan seterusnya berkembang kepada skop pengujian pembebasan gas formaldehid pada tahun ini.  Sesungguhnya ini merupakan satu lagi pencapaian yang signifikan di dalam aspek penyelidikan dan pembangunan produk kayu dan biokomposit negara.

Produk biokomposit yang terdiri daripada papan lapis, papan serpai, papan gentian dan wood plastic composit (WPC) telah menyumbang sehingga 29% daripada jumlah eksport kayu-kayan sebanyak RM22.11 billion pada tahun 2016.

Industri biokomposit ini telah berkembang menjadi industri bernilai berbillion ringgit.  Pada tahun 2016, nilai eksport biokomposit yang merangkumi papan lapis, papan serpai dan papan gentian pada tahun 2017 dari Jan – Sep juga amat memberangsangkan iaitu sebanyak RM4.57 billion berbanding RM4.28 billion untuk tempoh yang sama tahun lepas dengan peningkatan sebanyak RM7%.

Sehingga kini, terdapat 192 buah kilang papan lapis, 43 buah kilang papan serpai, 5 buah kilang papan gentian dan 10 buah kilang wood plastic composit di seluruh negara untuk menghasilkan bahan mentah biokomposit bagi kegunaan tempatan dalam sektor perabot dan pembinaan mahupun untuk pasaran antarabangsa.  Pada peringkat global, Malaysia menduduki tempat kedua sebagai pengeksport papan lapis, tempat ke-11 untuk papan gentian dank e-18 untuk papan serpai.

Bahan Mentah Alternatif – oil palm trunk (OPT)

 Bekalan kayu semasa adalah tidak mencukupi dan Malaysia kini cuba menggunakan bahan mentah alternative lain dalam pengeluaran produk biokomposit bernilai tambah tinggi.  Di Malaysia, terdapat sejumlah besar bahan mentah biomas yang dihasilkan daripada sisa kayu, sisa dari perladangan seperti kelapa sawit yang boleh menyediakan 11 juta batang kelapa sawit atau 6.3 juta tan, 27 juta tan pelepah dan 8086 juta tan buah tandan kosong dari kawasan penanaman semula 84,000 hektar yang direkod pada tahun 2016. Semua bahan mentah ini mempunyai ciri-ciri mekanikal dan fizikal yang sangat baik dan mempunyai potensi yang amat besar untuk menghasilkan produk biokomposit dan kayu untuk pelbagai kegunaan terutamanya perabot.

Di samping kayu keras, batang kelapa sawit merupakan salah satu bahan mentah alternatif yang berpotensi bagi pembuatan produk venir dan papan lapis serta produk lain.  Batang kelapa sawit ini merupakan salah satu sumber yang telah terbukti secara R&D dan penggunaan oleh pengusaha kayu-kayan dapat dijadikan sebagai sumber alternatif bagi penghasilan venir, papan lapis dan kayu gergaji. Pada tahun 2016 sahaja dicatatkan keluasan kawasan penanaman kelapa sawit adalah sebanyak 5.7 juta hektar yang mana berjuta-juta meter padu biomass yang boleh dihasilkan daripadanya.  Tempoh penanaman bagi kelapa sawit adalah selama 25-30 tahun dan selepas itu ia akan ditebang untuk penanaman semula.

Faedah-faedahnya penggunaan OPT adalah seperti berikut:

  1. Mengoptimumkan penggunaan sumber fiber semulajadi alternatif kayu kepada penghasilan produk papan lapis berkualiti dan bernilai tambah yang menjana pendapatan negara.
  2. Mengurangkan kebergantungan kepada sumber kayu hutan di dalam sektor perkayuan dengan peningkatan penggunaan bahan mentah tersedia dan mapan memandangkan batang kelapa sawit merupakan sumber daripada perladangan.