Berikutan dengan persaraan Ybhg. Dato’ Dzulkifli Mahmud pada 31 Januari 2017, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah mengumumkan pelantikan Ir. Dr. Mohd Shahreen Zainooreen B. Madros sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baru MATRADE. Beliau yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif ke-7 MATRADE merupakan pemegang Ijazah kelas pertama dari University of London pada tahun 1986 dan Ijazah Kedoktoran dari Universiti Cambridge pada tahun 1989.  Sebelum memegang jawatan dalam MATRADE, beliau  pernah berkhidmat dengan Esso Production Malaysia Inc. (EPMI) dan telah ditugaskan untuk Syarikat Exxon Production Research di Houston, Texas selama dua tahun. Selepas EPMI, Dr. Shahreen telah menyertai INTEC Kejuruteraan dan terlibat dalam perundingan reka bentuk luar pesisir untuk pelanggan tempatan dan antarabangsa. Selari dengan misi MATRADE, beliau mahu terus melangkah ke hadapan, mengukuhkan lagi sistem eksport Malaysia dan memastikan Malaysia akan kekal berdaya saing di peringkat global.