Sistem permohonan pengiktirafan Badan Pensijilan Halal Antarabangsa secara atas talian yang dikenali sebagai Sistem Pihak Berkuasa dan Badan Halal Antarabangsa Malaysia (MyIHAB) dilancarkan malam tadi.

Majlis pelancaran sistem berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena majlis makan malam penutupan Konvensyen Badan Pensijilan Halal Ke-8, di sini semalam.

Sistem yang seumpamanya dibangunkan di dunia itu menyediakan pengurusan dan pendaftaran bersepadu bagi Badan Pensijilan Halal Antarabangsa dengan pangkalan datanya yang berpusat di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, sistem berkenaan diwujudkan sebagai titik permulaan ke arah mewujudkan Lembaga Akreditasi Halal Antarabangsa.

“Sistem ini diperkenalkan bagi menunjukkan keprihatinan tinggi kerajaan terhadap peranan yang dimainkan oleh Badan Pensijilan Halal Antarabangsa selain memperkukuhkan keupayaan Sijil Halal Malaysia,” katanya.