Sejumlah RM200 juta diperuntukkan di bawah Program Pemecut Keselamatan Siber oleh Asia Cybersecurity Exchange (Asiacyberx) bertujuan mempertingkat syarikat pemula niaga ke tahap pertumbuhan seterusnya, menurut ACE Accelerator Network Sdn Bhd.

Dalam kenyataan baru-baru ini, syarikat itu berkata program pemecut tersebut menumpukan bimbingan aktif, pengkomersialan penyelesaian dan produk, mewujudkan model perniagaan yang tepat, memperolehi pendanaan dan peluang rangkaian dalam jaringan sedia ada yang mempunyai lebih 20 mentor, usahawan dan pakar industri.

Ketua Pegawai Eksekutif LGMS, Fong Choong Fook berkata program itu tidak mengehadkan proses pemilihan bagi peserta keselamatan siber semata-mata malah turut terbuka kepada syarikat pemula niaga dalam keselamatan teknologi maklumat, analisis data raya dan penyelesaian berkaitan keselamatan siber.

“Kami berharap program pemecut ini akan membolehkan kami menawarkan peluang luas untuk menarik syarikat pemula niaga baharu membangunkan penyelesaian keselamatan siber generasi akan datang.

“Sebab itulah program ini diwujudkan khusus bagi membolehkan kami bekerjasama dengan pihak berkepentingan industri utama, termasuk pembuat dasar, penyedia, pakar industri dan ahli akademik, untuk mengembangkan kumpulan bakat dan usahawan yang lebih besar,” katanya. – BERNAMA