RHB Islamic Sumbang RM50 Juta Kepada Usahawan

Dalam majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara bank dengan Institut Keusahawan Negara (INSKEN) baru-baru ini, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Dato’ Adissadikin Ali berkata, pihak beliau akan mengeluarkan sekurang-kurangnya RM50 juta tahun ini untuk membantu pembangunan usahawan. Menurut beliau, sehingga tahun 2016 lebih RM200 juta daripada RM400 juta dana telah diagihkan di bawah kerjasama TERAJU.

Fokus utama sumbangan tersebut adalah untuk membantu pembangunan usahawan di bawah program Dana Teras yang dianjurkan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera. Setakat ini, sebanyak 1,014 syarikat di bawah program Dana Teras telah dilancarkan. Kali ini, mereka akan bekerjasama dengan INSKEN dan mahu mendekati lebih 14,000 usahawan yang berdaftar. INSKEN merupakan penyelaras program latihan untuk usahawan di bawah bidang kuasa TERAJU. Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, YBhg Dato’ Husni Salleh berkata, beliau berharap agar kerjasama dengan pihak bank membantu memupuk usahawan dan membolehkan mereka untuk terus maju ke hadapan.

Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut mengenai program tersebut boleh melayari laman rasmi TERAJU di www.teraju.gov.my atau ke laman rasmi RHB Islamic Bank di www.rhbgroup.com.