SHOPPLUS SASAR 10,000 ANGGOTA AKHIR TAHUN

Platform membeli-belah dalam talian terkini, Shopplus, menyasar untuk mendaftar 500 peniaga dan 10,000 anggota bagi platform perniagaan digitalnya menjelang akhir tahun.

Ketua Pegawai Teknologinya Cheng Chun Fu berkata dengan menggunakan model perniagaan “ekonomi keanggotaan”, syarikat itu berharap untuk membangunkan ekosistem sama-sama menang melalui media sosial dengan menggalakkan pembeli dan peniaga membeli, berkongsi dan mendapatkan kembali wang tunai dan mata ganjaran membeli-belah daripada sistem perkongsian dan pembeliannya.

“Melihat kepada bagaimana Malaysia berkembang pesat dalam industri e-dagang, kami menjangkakan potensi yang besar dalam pasaran runcit dalam talian.

“Dengan Shopplus membawa kepakaran dari Taiwan, kami percaya keusahawanan di negara ini akan terus didorong oleh para belia yang boleh membina asas perniagaan mereka sendiri,” kata Cheng pada sidang akhbar selepas pelancaran rasmi Shopplus di sini hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong, yang menyaksikan pelancaran itu, menggalakkan lebih banyak Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memulakan platform digital dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab utama bagi aktiviti e-dagang di rantau ASEAN.

“Kita merupakan antara negara paling bersambung di dunia dengan kira-kira 21 juta pengguna Internet daripada penduduk 30 juta pada masa ini.

“Menyedari hal ini, kerajaan juga komited untuk mempercepatkan halangan bukan tarif untuk meningkatkan transaksi e-dagang rentas sempadan dan memastikan lebih banyak PKS siap sedia dan mampu memenuhi tuntutan pasaran antarabangsa,” kata Chua dalam ucapannya.

Shopplus yang berdaftar di bawah Harmony Bridge Sdn Bhd, adalah inisiatif warga Malaysia yang menawarkan pengalaman membeli-belah dalam talian yang mudah dan masa menunggu yang lebih singkat untuk barangan yang dibeli dari Taiwan.

Pada masa ini, syarikat telah memperoleh lebih 200 peniaga dengan kira-kira 10,000 barangan di platformnya, di mana 20 peratus daripada barangan berkenaan diperoleh dari Taiwan manakala bakinya produk tempatan.

Ia mempunyai enam kategori utama iaitu barangan elektrik, fesyen dan digital, rumah dan kehidupan, sukan dan rekreasi, bayi dan kanak-kanak serta automotif. –BERNAMA

SUMBER: http://www.bharian.com.my