Kira-kira 300 produk pertanian berjaya dieksport ke Singapura melalui Agrobazaar Malaysia di Sultan Gate, Singapura setakat ini. Timbalan Menteri, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman berkata, “Kerajaan menyasarkan lebih 2,000 produk Komersial hasil pertanian akan dieksport ke luar negara dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.”

Singapura akan dijadikan sebagai tapak permulaan untuk meneroka lebih banyak peluang untuk membawa produk Malaysia sehingga ke pasaran antarabangsa.

Beliau yakin sasaran tersebut mampu dicapai melalui hasil pelaksanaan Gelombang Tani Nasional (GTN) 2017. Tujuan utama pelaksanaan GTN 2017 ini adalah untuk mengubah cara pemikiran dan cara kerja para petani tempatan supaya lebih produktif di samping menarik lebih ramai golongan belia untuk menceburi bidang keusahawanan khususnya dalam bidang pertanian.

Majlis pelancaran tersebut akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 15 April ini di Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Degong, Perak.