Sebanyak RM100juta dana akan disalurkan kepada 10,000 usahawan wanita melalui Skim Pembiayaan Program TemanNita yang baru sahaja dilancarkan oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) baru-baru ini. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerajaan amat prihatin dan komited dalam membantu golongan wanita yang bukan sahaja memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, malah merupakan tulang belakang dalam institusi kekeluargaan.
TEKUN bekerjasama dengan Perbadanan Nasional Berhad (PNB) yang bertindak sebagai Agensi pembangunan dalam usaha mempelbagaikan cabang perniagaan kepada para usahawan. Turut hadir Penasihat Pembangunan Keusahawanan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, beliau berkata pembiayaan seperti ini wajar kepada golongan ibu tunggal yang mahu menambah sumber pendapatan dalam keluarga melalui perniagaan. Beliau menyeru agar para usahawan wanita merebut peluang tersebut.

Skim ini menyediakan konsep berkumpulan, bagi usahawan wanita yang berminat untuk memohon, mereka perlu mendapatkan 5 orang ahli wanita dalam sebuah kumpulan. Setiap ahli mestilah memiliki perniagaan yang sah dan tempoh proses kelulusan adalah selama 14 hari. Permohonan boleh dibuat di mana-mana pejabat cawangan TEKUN. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman rasmi TEKUN ke www.tekun.gov.my atau hubungi Talian Khidmat Pelanggan ke 03-90588550.