SME Corporation Malaysia (SME Corp) bersedia membantu usahawan-usahawan tempatan yang berhasrat menyertai Program Galakan Eksport Bumiputera (GEB) bagi meningkatkan produktiviti dan pemasaran masing-masing secara lebih meluas ke peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noor Azmi Mat Said berkata, jumlah eksport usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terutamanya Bumiputera yang tidak begitu memberangsangkan dengan penglibatan hanya 20 peratus sahaja boleh dipertingkatkan lagi mengikut garis panduan serta bimbingan yang betul.

“Kita perlu meningkatkan jumlah penglibatan usahawan PKS Bumiputera kerana tumpuan pemasaran produk mereka kini lebih cenderung kepada pasaran tempatan sahaja.

“Kebanyakan mereka juga tertumpu pada perniagaan makanan dan minuman (F&B) atau ‘ready to eat’ dan hanya sekitar 30 peratus daripada keseluruhan usahawan PKS Bumiputera terlibat dalam pasaran domestik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dobi Layan Diri Usahawan PKS di Taman Angkasa Nuri Melaka, semalam.

Tambah Azmi, usahawan PKS Bumiputera yang berkelayakan menyertai GEB kelak akan diberikan bantuan dari aspek kemudahan pembiayaan sewa premis, pembangunan jenama produk menerusi pengiklanan, pemasaran dan pensijilan negara luar yang melibatkan peruntukan sehingga RM500,000.

Noor-Azmi-Said-Kredit-foto-FB-SME-Corp.jpg