Dalam persekitaran dunia yang tidak menentu dan mencabar ketika ini, peranan psikometrik menjadi semakin penting dalam mengukur kecenderungan, pengetahuan, kemampuan, sikap dan personaliti manusia dalam membuat keputusan yang bijak pada masa akan datang.

Dalam majlis pelancaran Teknologi Pentaksiran Digital untuk Revolusi Keempat semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, teknologi pentaksiran digital bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan dalam melangkah ke era Revolusi Industri Keempat.

Beliau menambah, “penggunaan pentaksiran digital adalah penyelesaian terbaik berbanding pentaksiran tradisional. Impak pentaksiran digital dalam sesebuah organisasi dapat dilihat dengan ketara dan membantu dalam mengenal pasti peluang, mengelak kesilapan dari segi kos dan menggalakkan inovasi dalam syarikat.”

Sementara itu, para usahawan perlu bijak mengambil peluang daripada platform internet dan digital bagi memasarkan produk-produk mereka sehingga ke peringkat global.

Dalam lawatan ke Makmal Sindikasi Hala Tuju Ekonomi Bumiputera (BETR) baru-baru ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tidak kira banyak mana kerajaan membantu para usahawan, kejayaan tidak akan dicapai sekiranya mereka tidak memiliki kesedaran untuk pengurusan perniagaan yang cekap.

Oleh itu, beliau mahu para usahawan khususnya bumiputera untuk memiliki asas disiplin yang tinggi dalam memastikan perniagaan yang mereka jalankan sentiasa berdaya saing dan maju.