Dalam pertemuan dengan wartawan Kumpulan The New Straits Times Malaysia baru-baru ini, Ketua Eksekutif TERAJU, Datuk Husni Salleh berkata mereka bakal melancarkan makmal khas pada bulan hadapan. Makmal ini bertujuan untuk mencari pendekatan baharu untuk memperkasakan lagi agenda Bumiputera. Mereka mahu usahawan Bumiputera untuk terus maju bersama-sama dengan usahawan bukan Bumiputera yang lain.

TERAJU yang sehingga kini menyediakan peluang dan pembiayaan perniagaan serta pembangunan modal insan mahu memperhalusi semula petunjuk prestasi usahawan Bumiputera. Pada masa kini, petunjuk prestasi yang ada tidak boleh diterjemah dalam bentuk data atau kuantiti apabila dilihat secara menyeluruh. Jadi, menerusi makmal yang bakal dilancarkan itu, pihak TERAJU boleh menilai semula program yang lebih memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi negara.

Makmal berkenaan akan membabitkan semua kementerian dan pihak berkepentingan lain seperti ahli perniagaan, wakil badan bukan kerajaan dan syarikat berkaitan dengan kerajaan.  Ia bertujuan meneraju, memacu dan menyelaras penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara selaras dengan Pelan Transformasi Negara.