Secara konvensional, kebanyakan kerjasama syarikat korporat dirasmikan melalui majlis menandatangani dokumen perjanjian di hadapan sidang media. Berbeza dengan Triterra Metropolis Sdn Bhd (Triterra) dan Naza TTDI, mereka merasmikan kerjasama melalui perlawanan persahabatan bola sepak ‘Triterra Partnership Cup’ di Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara.

Kerjasama yang dijalinkan di antara kedua-dua pemaju hartanah ini bertujuan untuk memulakan pembangunan pejabat ‘The MET Corporate Towers’ di kawasan Metropolis Kuala Lumpur. Bangunan tersebut dijangka akan siap menjelang tahun 2021.

Naza TTDI (Jersi hitam) dan Triterra (Jersi Putih) dalam perlawanan bola sepak ‘Triterra Partnership Cup’

Ketua Eksekutif Triterra, Christopher Lim berkata, “kerjasama bersejarah ini terbina daripada semangat yang kental, dedikasi yang tinggi serta kerjasama yang kukuh di antara Triterra dan Naza TTDI. Kami percaya tidak ada cara lain yang lebih baik untuk menghargai kerjasama ini selain daripada perlawanan bola sepak.”

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Naza TTDI, SM Faliq SM Nasimuddin berkata, “Kami berasa gembira mempunyai Triterra sebagai rakan kongsi strategik dalam merealisasikan visi pembangunan pelan induk di kawasan Metropolis Kuala Lumpur ini. Penyertaan kami dalam ‘Triterra Partnership cup’ sebagai tanda memperingati kerjasama dengan pihak Triterra yang mungkin akan meneruskan projek lain pada masa akan datang.”