Dalam majlis makan malam bersempena ulang tahun yang ke-50 UEM Group baru-baru ini, Pengerusi UEM Group, Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali berkata mereka mahu membuka peluang kepada lebih 40 usahawan Bumiputera dalam jangka masa 4 tahun ini. Mereka bukan sahaja menyediakan peluang perniagaan kepada usahawan malah akan membantu mereka untuk terus maju sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

UEM Group yang merupakan kumpulan pembangunan infrastruktur berasaskan kejuruteraan di Malaysia ini bermatlamat untuk mengembangkan kepakaran usahawan Bumiputera melalui 4 teras perniagaan mereka termasuklah lebuhraya (PLUS Malaysia Bhd dan PLUS Expressways International Bhd), perbandaran dan pembangunan hartanah (UEM Sunrise Bhd), kejuruteraan & pembinaan (UEM Builders Bhd dan Cement Industries of Malaysia Bhd), dan aset & pengurusan kemudahan (UEM Edgenta Bhd).

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata melalui beberapa projek infrastruktur yang telah diumumkan baru-baru ini, jelas menunjukkan peluang yang besar terhadap usahawan Bumiputera. Beliau mahu para usahawan Bumiputera untuk bergiat aktif dalam merebut peluang tersebut.