Malaysia perlu mempergiat lebih banyak usaha untuk meningkatkan rantaian nilai industri aeroangkasa, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud.

Beliau berkata aeroangkasa merupakan industri yang pantas berkembang di negara ini dengan pertumbuhan purata lima peratus sejak 10 tahun lepas, meskipun persaingan serantau semakin sengit namun ia kekal rancak dan berkembang pesat bagi tempoh akan datang.

“Kami mahu menyaksikan lebih banyak peserta industri menyertainya dan memanfaatkan kemudahan serta platform yang disediakan kerajaan pusat,” katanya dalam ucaptama pelancaran awal kilang pembuatan dan fabrikasi komponen aeroangkasa baharu milik Boss Aerosystem Sdn Bhd di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Azman berkata, berasaskan aeroangkasa sebagai antara sektor strategik utama untuk memacu industri pembuatan, MIDA giat mempromosikan industri itu seiring dengan Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-11.

Sementara itu, CEO Boss Aerosystem, Goh Kee Wooi berkata kilang baharu tersebut akan menawarkan lebih 360 peluang pekerjaan berkemahiran dan bernilai tinggi.

Beliau berkata syarikat itu melabur hampir US$10 juta (US$1=RM4.09) bagi kilang berkenaan, yang dibiayai sepenuhnya oleh pemegang saham.

Pihaknya juga sedang membangunkan kilang kedua di Auto City, Juru, Pulau Pinang yang dijangka siap pada akhir tahun ini. – BERNAMA

Azman ketika berucap pada pelancaran awal kilang Boss Aerosystem.png