Sejajar dengan perkembangan dan arus kemodenan idea ‘food truck’ atau lebih sinonim dengan trak makanan semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat khususnya golongan muda. Tidak dinafikan lagi pengendalian trak makanan ini jauh lebih mudah untuk mendapatkan pelanggan jika dibandingkan dengan penjual makanan setempat.

Kini, lebih banyak pihak yang menyokong perniagaan melalui trak makanan. Dalam Seminar Usahawan Food Truck 2017 yang dianjurkan oleh Kumpulan Razilina, Presiden Kumpulan Rezilina, Datuk Roslina Abu Bakar berkata perniagaan seperti ini menawarkan potensi luas berikutan trend perniagaan food truck semakin popular. Beliau juga menyarankan usahawan beralih kepada trak makanan khusus bagi mereka yang berdepan dengan masalah sewa kedai yang mahal dan lokasi perniagaan yang tidak strategik.  

Selain itu, Perbadanan Nasional Berhad (PNS) telah memperkenalkan skim sewaan trak makanan yang memperuntukkan sebanyak RM1.5juta. Pengarah Urusan PNS, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata melalui skim itu, pihak PNS akan membantu dalam membuat pembelian trak makanan dan mengubah suainya sebelum disewa kepada para usahawan yang berminat. Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai skim sewaan trak makanan ini boleh layari laman rasmi PNS www.pns.com.my.