Wanita Dalam Bidang Keusahawanan

Dahulu, wanita sering dianggap sebagai golongan yang lemah dan peluang pekerjaan amat terhad. Namun, rata-rata kaum wanita telah memonopoli hampir 50% bidang pekerjaan di negara ini termasuklah bidang perniagaan. Mereka dilihat sudah mula berani mengembangkan rangkaian perniagaan mereka sehingga ke negara-negara luar.

Pada dasarnya ramai golongan wanita terutamanya ibu tunggal ini beranggapan bahawa melalui perniagaan kecil-kecilan mereka boleh menyara keluarga sekaligus meluangkan lebih masa dengan keluarga mereka. Menyedari hakikat tersebut, banyak pihak berkepentingan telah mula menyokong kaum wanita melalui pembiayaan perniagaan.

Sebagai contoh, baru-baru ini Majlis Amanah Rakyat atau MARA telah melancarkan program pembangunan usahawan wanita (DanaNita) dan memperuntukkan sejumlah RM35 juta untuk membantu usahawan terbabit. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada peruntukkan tersebut RM5 juta akan diperuntukkan untuk tujuan latihan serta bimbingan mengenai perniagaan manakala baki RM30 juta itu akan digunakan untuk pembiayaan khas usahawan wanita. Beliau berkata lagi, sejak tahun 2011 sehingga kini, MARA telah meluluskan pembiayaan kepada 37,992 usahawan dan 4.56% daripada jumlah tersebut merupakan usahawan wanita.