10 ‘tahu’ yang usahawan mesti peka

Landasan seorang usahawan perlulah lurus agar haluan perniagaan yang dituju tidak terbabas ke arah yang tidak sepatutnya. Sekadar peringatan ringan, tetapkan di minda rasa ‘tahu’ berikut jika anda mahu membentuk diri menjadi usahawan berkaliber:

(1) Tahu bezakan hal perniagaan dan peribadi
Sekiranya sudah terjebak di dalam dunia perniagaan, seorang usahawan mestilah pandai membezakan antara urusan perniagaan berbanding hal peribadi. Jangan campur adukkan kedua-duanya kerana salah satunya boleh menjadi penyebab kerosakan satu yang lain.

(2) Tahu melayan pekerja
Jurang seorang majikan dan pekerja sememangnya ada. Namun, itu bukanlah alasan untuk anda melayan mereka seperti orang suruhan atau hamba abdi. Tidak ada salahnya anda mesra dan menjaga juga kebajikan mereka.

(3) Tahu uruskan harta intelek
Jangan pandang mudah pengurusan harta intelek kerana itulah sebenarnya identiti, jenama dan produk hasil penat lelah anda sendiri. Bagi melindunginya, daftarlah dengan MyIPO.

(4) Tahu perjalanan kewangan
Sumber kewangan memainkan peranan besar bagi jatuh bangun sesebuah perniagaan. Anda wajib ambil tahu setiap urusan masuk keluar wang melibatkan operasi dan kos. Jangan lupa rekodkannya ke dalam buku atau fail khas.

(5) Tahu aspek perjanjian
Usah leka dengan setiap perjanjian yang anda uruskan bersama pihak luar. Bagi mengelakkan dikhianati atau tertipu, anda mesti tahu membaca dan menulis perjanjian terutamanya berkaitan pembekal barangan.

(6) Tahu muhasabah diri
Tidak semestinya setiap yang anda rancangkan berjalan lancar. Oleh itu, anda perlu sedar diri kerana ada ketikanya kesilapan itu juga datang daripada diri sendiri. Jangan gemar menjatuhkan kesalahan kepada orang lain.

(7) Tahu simpanan mencukupi
Pastikan simpanan kewangan cukup untuk menampung perbelanjaan syarikat agar tidak mendatangkan masalah di kemudian hari. Seelok-eloknya biarlah wang simpanan tersebut mencukupi untuk perbelanjaan sekurang-kurangnya enam bulan.

(8) Tahu merendah diri
Jangan fikir sudah jadi bos, anda tahu segala-galanya. Jika rasa diri hebat, sudah tentu ada lagi yang lebih hebat daripada kita. Tidak ada salahnya ambil sikap merendah diri dan tidak perlu rasa malu untuk belajar sesuatu yang bukan menjadi kemahiran kita.

(9) Tahu mengawal percakapan
Letakkan satu had untuk anda bercerita sesuatu kepada pekerja kerana bukan semua perkara sesuai diceritakan kepada orang lain. Ada kewajaran sesetengah perancangan syarikat mesti anda simpan sebaik mungkin.

(10) Tahu jalan ikhtiar
Untung dan rugi sudah menjadi kebiasaan dalam perniagaan. Ada ketikanya anda akan berdepan situasi sukar yang dinamakan kerugian. Sediakan perancangan awal seperti Pelan A, B dan C sebagai ‘pertahanan’ terbaik supaya perniagaan anda tidak sia-sia ‘gulung tikar’.

10 sifat usahawan kena ada.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.