16 usahawan Selangor terima pembiayaan RM64 juta sempena PJUKM 2023

Sejumlah RM64.5 juta telah disampaikan kepada 16 usahawan bimbingan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) iaitu SME Corporation Malaysia (SME Corp), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), UDA Holdings Berhad, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan TEKUN Nasional.

Geran perniagaan dan kemudahan pembiayaan tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan disaksikan Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick menerusi Program Jelajah Usahawan dan Koperasi MADANI (PJUKM 2023) peringkat Negeri Selangor.

Menurut Ewon, pembiayaan yang disalurkan bertujuan memastikan kelangsungan komuniti usahawan dan koperasi di Selangor dalam mendepani cabaran persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.

“Kita mahukan usahawan dan koperasi yang sedia ada terus berjaya, manakala usahawan baharu pula tumbuh bak cendawan.

“Itulah yang diperjuangkan di bawah Dasar Keusahawan Nasional 2030 untuk menjadikan negera ini sebagai sebuah negara keusahawanan unggul menjelang 2030,” katanya sewaktu menyampaikan ucaptama pada program PJUKM 2023 Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, semalam.

Tambah Ewon, kerjasama erat antara kementeriannya dan kerajaan negeri Selangor diharapkan tidak terhenti pada penganjuran PJUKM 2023 sahaja, malah dapat diperluaskan lagi bagi membantu lebih ramai komuniti usahawan dan koperasi yang memerlukan khususnya di Selangor.

“Ini menggambarkan nilai Malaysia Madani iaitu ‘keyakinan’ dan ‘ihsan’ turut sama didukung oleh kerajaan negeri seiring dengan aspirasi kerajaan persekutuan,” ujarnya.

PJUKM 2023 Negeri Selangor merupakan anjuran KUSKOP dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor dengan pelbagai aktiviti diadakan seperti forum keusahawanan, pameran dan jualan menerusi 38 reruai agensi KUSKOP dan Kerajaan Negeri termasuk jualan makanan, minuman kendera saji serta Jualan Madani Koperasi yang menawarkan jualan barangan keperluan asas.

-NIAGATIMES

kredit-foto-KUSKOP.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.