17 Rakan Platform Digital akan menawarkan promosi dan insentif mampu beli kepada Rakyat Malaysia melalui kempen Jualan Murah Keluarga Malaysia @ DE Dagang (JMKM @ DE Dagang) dari September hingga Disember 2022.
Insentif-insentif yang ditawarkan melalui kempen ini boleh ditebus daripada 17 Rakan Platform Digital yang terlibat termasuk platform tempatan seperti Bizapp, InstanteStore, Jocom, Kravve, Kumoten, Lokein.com, Maybank, Rtist, SiteGiant, Wonderfly dan juga platform luar negara seperti Fave, FoodPanda, Grab, Lazada, OYO Hospitality, Shopee, dan TikTok.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, kempen ini adalah usaha nasional bagi membantu mengurangkan beban perbelanjaan rakyat dan adalah selari dengan aspirasi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi iaitu untuk menurunkan kadar inflasi dan harga makanan, terutamanya menerusi Program Jualan Murah Keluarga Malaysia dan juga disokong penuh oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).
“JMKM @ DE Dagang adalah kesinambungan daripada program yang telah dilancarkan termasuk Jualan Murah Keluarga Malaysia, Jualan Murah Rangkaian Koperasi dan Jualan Murah @ Kampus yang dilancarkan pada Ogos 2022.
“Melalui kerjasama dengan Rakan Platform Digital, kempen ini akan membolehkan rakyat berbelanja pada harga yang berpatutan dan tidak membebankan mereka terutamanya barangan harian seperti produk keperluan asas dan runcit, makanan, dan perkakas rumah yang boleh didapati dengan potongan diskaun sehingga 20 peratus atau maksima RM100 untuk setiap transaksi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kempen tahun ini juga akan membantu usahawan dalam sektor sasaran seperti produk-produk halal, hasil pertanian dan produk Buatan Malaysia.
Selain itu, JMKM @ DE DAGANG akan membantu usahawan yang mempunyai produk barangan buatan dan jenama Malaysia yang berpotensi untuk dieksport serta produk Pelancongan dan Kraf untuk mengguna pakai dan memanfaatkan Platform Digital.
-NIAGATIMES