198 program latihan INSKEN sedia bantu 25,000 usahawan di seluruh negara

25,000 usahawan di seluruh negara sedia dibantu menerusi 198 program latihan dan bimbingan yang akan dilaksanakan Institut Keusahawanan Negara Bhd (INSKEN) pada tahun ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Maizura Mohamad berkata, hala tuju 2025 menyaksikan INSKEN akan terus proaktif dengan memperkenalkan beberapa program baharu termasuk INSKEN Mini Coaching yang memfokuskan empat topik utama iaitu pengurusan pekerja, pengurusan kewangan, pemasaran dan pembangunan produk.

Beliau berkata, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu terus komited dalam memperkasakan usahawan mikro dan informal melalui pelbagai program latihan dan bimbingan yang berasaskan keperluan industri.

“INSKEN turut mengalu-alukan lebih banyak kerjasama strategik daripada pelbagai pihak bagi menjayakan usaha ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu, Insken menjalinkan kerjasama dengan pelbagai organisasi termasuk Amanah Ikhtiar Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Lembaga Zakat Selangor, Institut Tadbiran Awam Negara, Maybank Islamic dan Public Islamic Bank menerusi program seperti Kursus Asas Keusahawanan dan Kursus Asas Pembangunan Produk dan Servis.

Program bimbingan yang dilaksanakan sejak 2017 sehingga tahun lalu menyumbang RM101 juta kepada ekonomi negara dan dalam tempoh sama, sebanyak 1,134 pekerjaan baharu diwujudkan dan 130 usahawan berjaya meningkatkan status perniagaan daripada mikro kepada kecil, katanya.

Bagi tahun lalu, sebanyak 24 program bimbingan dilaksanakan terdiri daripada 19 Program Bimbingan Perniagaan Bumiputera insken dan lima Program Bimbingan Keuntungan Menu.

Ia mencatatkan peningkatan hasil jualan berjumlah RM23 juta, 468 pekerjaan baharu serta 60 usahawan yang menaik taraf status perniagaan mereka.

Sementara itu, Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick berkata, pelaksanaan program INSKEN bukan sahaja menepati keperluan industri semasa, malah selari dengan tonggak dasar ‘Membangun Malaysia MADANI’ yang menekankan nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

“INSKEN sudah mengintegrasikan modul serta kerangka latihan berteraskan nilai-nilai MADANI bagi membantu kelangsungan perniagaan yang akhirnya memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat, khususnya usahawan tempatan,” katanya.

-NIAGATIMES

gambar-hiasan-KREDIT-INSKEN.jpg